أسلم تسلم

Jangan Takut Berbeza

Sudut Pidato : Mahasiswa Wajib Manfaatkan Ruang

Ma’ruf Club menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk kembali membuka ruang dan peluang bagi mahasiswa bersuara di depan massa di kampus. Pengenalan semula Sudut Pidato yang terhenti seketika hampir 40 tahun lamanya dilihat antara faktor utama mahasiswa yang lahir daripada sulbi kampus sejak era tersebut dilihat lesu untuk berpencak di lapangan masyarakat. Pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik mengambil alih konsentrasi mahasiswa yang kemudiannya dijadikan alasan dan penghalang kepada mereka untuk terlibat dengan dunia sebenar kemasyarakatan. Ditambah lagi dengan pelbagai undang-undang yang menyahaktifkan penglibatan mahasiswa untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, ia menambah parah lagi kualiti yang wujud dalam diri mahasiswa.   

Oleh sebab itu, Ma’ruf Club amat berharap mahasiswa kampus dapat memanfaatkan keterbukaan ini dengan sebaiknya. Hal ini disebabkan mereka merupakan ‘generasi emas’ yang sentiasa diwarwarkan sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Antara keistimewaan mereka ini ialah di samping berada di lapangan akademik, sebenarnya anak muda juga ‘kaya’ dengan cita-cita, idealisme, semangat dan keazaman untuk berubah dan menjadi agen perubahan. Dalam sebuah kisah perang pada zaman Nabi S.A.W., sewaktu Baginda S.A.W. mengumpulkan para sahabat R.A. untuk bertanyakan strategi perang yang akan digunakan untuk berhadapan dengan musuh, maka bangkit seorang anak muda memberi cadangan supaya Tentera Islam menggali parit. Umum maklum bahawa sejarah perang melibatkan bangsa Arab tidak pernah menggunakan idea se‘gila’ itu. Namun, melihat kepada untung besar yang boleh memenangkan Islam dengan menggunakan strategi tersebut, maka Nabi S.A.W. menerima cadangan anak muda tersebut yang pada mulanya dilihat ramai tidak mampu memberi kesan. Perang itulah, Perang Khandaq. Anak muda itulah, Salman Al-Farisi.

Ma’ruf Club juga amat mengharapkan pemidato dapat mempersembahkan idealisme mereka dengan baik. Namun, sewajarnya mereka dapat mengelakkan daripada membuat sebarang pengucapan awam yang berbaur provokasi supaya terhindarnya konfrontasi. Semoga aura mahasiswa yang pernah mewarnai pentas dan landskap negara pada satu masa dulu kembali disemarakkan dan dibumikan demi kecaknaan dan kemaslahatan pada kampus khasnya dan ummah amnya.    

 

 

16/01/2010 Posted by | Dakwah, Isu Semasa | Leave a comment

Kami Pasti Menyusulmu, Sahabat..

Ucapan ‘Innalillah Wa Inna Ilaih Raji’un’ terpacul daripada mulut sebaik mendapat berita kemalangan 2 orang ahli GAMIS daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim kira-kira pukul 5 pagi tadi. Mesej pertama daripada Presiden GAMIS, Ustaz Idris yang memaklumkan Akh Faizol meninggal dunia kemudiannya disusuli dengan mesej kedua kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan bahawa Akh Fadhiri pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.

Saya tidak berkesempatan mengenali arwah Faizol,pelajar jurusan Pendidikan Khas. Namun, berdasarkan cerita sahabat-sahabat lain di UPSI, mereka berdua adalah daripada aliran dakwah yang sama. Kesempatan mengenali arwah Fadhiri pula sesungguhnya amat ternilai saat dan ketikanya. Pada perkiraan saya, arwah seorang yang sangat bertanggungjawab, baik hati dan sangat komited. Saya banyak berhubung dengan arwah Fadhiri jika ada perkara berkaitan dengan GAMIS. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah sewaktu Ekspidisi Dakwah GAMIS sempena Sambutan Tahun Baru 2010. Seperti biasa, arwah sentiasa dengan sifat mesranya diiringi senyuman, menyebarkan ‘merchandise’ GAMIS kepada masyarakat yang ingin menyambut tahun baru, sambil kopiah putih pula tidak pernah lekang daripada kepalanya. Sepanjang mengenalinya, saya boleh mengatakan bahawa Allahyarham sangat komited dengan tugasan untuk menyebarkan dakwah di bumi UPSI khususnya.

Apapun, Allah S.W.T. nyata lebih menyayangi kedua-duanya di saat kita semua pasti tidak dapat menafikan masih mengharapkan sumbangan mereka di alam dakwah yang serba mencabar ini. Saya yakin dan percaya bumi UPSI khasnya pasti akan merindui sentuhan dakwah mereka.

Mereka pergi mengadap Ilahi tatkala hati sanubari masih membara untuk meninggikan kalimah Islam. Semoga tenang rohmu disana. Kami pasti menyusulmu, sahabat..,kerana hanya waktu yang memisahkan kita.

Al-Fatihah..

11/01/2010 Posted by | Diari | Leave a comment

Elakkan Subjudis kepada Mahkamah

Kelulusan menggunakan kalimah ‘Allah’ oleh Mahkamah Tinggi kepada akhbar ‘The Herald’ berjaya ditangguhkan buat sementara waktu setelah Kementerian Dalam Negeri berjaya mendapatkan perintah ‘stay of execution’ atau perintah penangguhan perintah mahkamah sebelum ini. Kesan daripada perintah terbaru ini menyebabkan The Herald dilarang sama sekali untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan akhbar tersebut. Walaupun keputusan ini dilihat dapat meredakan sedikit ketegangan di kalangan masyarakat terutamanya orang Islam, ada juga yang tertanya-tanya tempoh masa ia terpaksa dipohon apatah lagi diluluskan yang membayangkan keseriusan kita dalam kes ini boleh dipersoal. Hal ini disebabkan oleh sewaktu penghakiman kes Dato’ Seri Ir. Nizar, permohonan dan kelulusan untuk ‘stay of execution’ daripada penghakiman terdahulu mahkamah hanya mengambil masa kurang daripada tempoh 24 jam.

Pihak kerajaan pula sepatutnya lebih tegas untuk tidak membenarkan rakyat mengambil kesempatan berhubung isu ini. Walaupun mereka ada menasihatkan rakyat untuk mengambil sikap bertenang, namun tiada pula tindakan dibuat kepada pihak yang berterusan memainkan isu ini. Terbaru, mereka membenarkan niat dan hasrat pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi. Tanpa menafikan hak demokratik setiap rakyat untuk bersuara, sepatutnya kerajaan perlu dilihat untuk tidak menggalakkan demonstrasi dalam situasi sekarang. Hal ini memandangkan rayuan keputusan di Mahkamah Tinggi tempoh hari akan diputuskan dalam tempoh terdekat. Harus diingat, kita masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang boleh membatalkan keputusan mahkamah sebelum ini. Tanpa menafikan ada kemungkinan bahawa keputusan yang akan diputuskan boleh jadi tidak berubah, namun dengan bertindak seperti ini, maka ia dilihat bersikap subjudis kepada mahkamah, iaitu membuat pengadilan terlebih dahulu terhadap isu sebelum dimuktamadkan oleh mahkamah atau mempengaruhi juri  mahkamah untuk membuat keputusan yang dibimbangi tidak dapat bersandarkan kepada prinsip kebebasan dan keadilan undang-undang.

 

07/01/2010 Posted by | Isu Semasa | Leave a comment