أسلم تسلم

Jangan Takut Berbeza

Hukuman Sebat : Dibisingkan kerana Jahilnya tentang Konsep Syariah?

Penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang mengaku bersalah meminum arak mengundang pelbagai polemik dalam masyarakat Malaysia. Hukuman enam kali sebatan (dan denda) yang diputuskan terpaksa ditangguhkan beberapa kali disebabkan oleh keraguan terhadap keberkesanan pelaksanaan hukuman yang sememangnya jelas berlandaskan aspek perundangan Islam. Sebahagian pihak seakan gempar dengan kemungkinan pelaksanaan hukuman sebat ini. Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh kurang arif dengan sistem dan objektif pelaksanaannya. Pada pandangan mereka, hukuman sebat Syariah adalah sebagaimana hukuman sebat sivil – iaitu dengan libasan 360 darjah. Sebab itu, ia perlu ditangguhkan sehingga selepas Ramadhan memandangkan kemungkinan pesalah terpaksa menjalani rawatan susulan akibat daripada kecederaan yang dialami. Pihak yang memperjuangkan hak-hak kewanitaan pula mengambil kesempatan ini untuk memainkan sentimen agama Islam mendiskriminasi pesalah wanita. Malang sekali, kejahilan ini dibiarkan berlarutan di peringkat kepimpinan negara sehingga membarah kepada masyarakat bawahan.

Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam Seksyen 125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang (tatacara yang sama turut wujud di negeri lain). Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Bukan sebagaimana sebatan sivil yang bersifat tanpa kasihan belas dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah sebaliknya bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

dn_21.1

Apabila menyebut tentang hukuman Syari’ah, sisi pandangan masyarakat juga akan terbayang tangan dan kaki yang dipotong, 100 kali sebatan atau rejaman dengan batu sampai mati. Inilah doktrin yang ditanam dalam jiwa kita sejak dahulu sehingga ia benar-benar sebati dalam diri. Doktrin yang diwarwarkan akibat terlalu obses kepada kuasa politik. Akibatnya, masyarakat marhain yang menjadi keliru dengan undang-undang agama anutan sendiri. Maka, kita akan asyik mencari dan mencipta undang-undang pencegahan yang lain walhal keberkesanannya sememangnya tidak menampakkan hasil.

Jarang sekali kita diratibkan bahawa hukuman syariah itu berpaksikan kepada 5 maqasid (objektif) syari’iah ;
1- Hukuman bunuh kepada orang murtad bagi menjaga agama daripada diperkotak-katikkan.
2- Hukuman bunuh dibalas bunuh (Qisas) bagi menjaga nilai nyawa.
3- Hukuman jenayah Zina bagi menjaga kesucian keturunan : a) Rejam sampai mati kepada yang sudah
     berkahwin ; b) Sebat 100 kali kepada yang masih bujang.
4- Hukuman Potong Tangan kepada pencuri bagi menjaga keselamatan harta-benda.
5- Hukuman Sebatan kepada peminum arak bagi menjaga kewarasan akal fikiran.

Objektif hukuman sebat bagi pesalah minum arak ini adalah untuk menjaga kewarasan akal fikiran. Semua maklum bahawa arak langsung tidak membawa manfaat kepada manusia, bahkan pula menimbulkan mudharat. Apabila akal fikiran sudah menjadi tidak waras, maka akibat buruk daripadanya yang akan mengambil tempat. Kita sudah saksikan sudah berapa banyak kes kemalangan yang direkodkan berlaku akibat daripada pemanduan mabuk. Institusi kekeluargaan pula menjadi tidak harmoni akibat sikap toleransi dalam hal ehwal rumah tangga yang sudah tidak wujud lagi. Isteri kehilangan kasih dan sayang pada suami. Anak-anak menjadi mangsa maki-hamun. Masyarakat pula sudah mula menjauhi golongan seperti ini.

Dalam kes ini, Kartika sendiri telah menyatakan keinsafan dan mahu bertaubat atas perbuatannya serta menuntut supaya beliau dikenakan hukuman berkenaan.

013273064 

“Saya mengaku dan amat kesal dengan perbuatan itu. Ia bukan sahaja memalukan diri tetapi turut membawa penghinaan kepada seluruh keluarga saya”

“Saya harap hukuman itu dapat dijalankan secepat mungkin supaya ia memberi pengajaran kepada orang lain. Tiada siapa yang paksa saya supaya meminta hukuman itu dilaksanakan segera. Ia lahir daripada rasa keinsafan yang amat mendalam”

Jelas sekali, keberkesanan pelaksanaan hukuman berlandaskan nilai Syariah ini menampakkan hasil. Peliknya, orang lain pula menyarankan Kartika supaya membuat rayuan berhubung hukuman ini sehingga dia pula terpaksa mengupah 5 orang peguam bagi menegah orang lain daripada mempengaruhinya untuk menterbalikkan keputusan hukuman. Niat Kartika adalah murni, iaitu bagi menyedarkan diri sendiri dan orang lain bagi menjauhi najis arak.

Keputusan sama ada hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Pahang. Hukuman ke atas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputusan Ketua Hakim Syarie Pahang, Yang Amat Arif Dato’ Abdul Hamid yang hendak membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika. Namun, perkhabaran bahawa hukuman akan dilaksanakan sebelum Aidiladha sewajarnya tidak diganggu oleh pelbagai sekatan lagi.

Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukang sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat baik secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak. Seorang penyebat wanita telah membuat demo sebatan Syariah di hadapan Hakim Rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Arif Dato’ Asri yang kemudiannya mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa, keputusan sebatan yang dibuat oleh bahagian kehakiman tidak wajar sama sekali diganggu memandangkan ia diputuskan dengan menuruti semangat perlembagaan, lunas undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan. Apapun, masalahnya bukan pada keputusan penghakiman tersebut, tetapi bagaimana persediaan masyarakat dan pengetahuan mereka tentang sistem dan objektif pelaksanaan undang-undang Syariah itu sendiri.

28/09/2009 Posted by | Isu Semasa | Leave a comment

Tarbiyyah Ramadhan untuk Keasahan Ibadat, Akhlak & Muamalat

Salam Syawal

Alhamdulillah, setelah sebulan menerima latihan pada bulan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia bersama-sama menyambut hari kemenangan ke atas hawa nafsu menandakan kesyukuran manusia kepada nikmat dan rahmat Allah S.W.T. ‘Idul Fitri (atau lidah Melayu kita menyebutnya Aidil Fitri) memberi pengertian kembali kepada fitrah.

Bulan Ramadhan dipilih sebagai bulan re-charge untuk kita semua menghadapi 11 bulan keseterusnya. Re-charge dari segi ibadat, akhlak, muamalat. Sebab itu, banyak sekali pantang larang yang perlu kita ikuti dan patuhi sepanjang tempoh sebulan tersebut. Ia adalah latihan Allah S.W.T. kepada kita supaya dapat diamalkan pada bulan-bulan seterusnya. Solat berjama’ah, menjaga tutur kata atau bersedekah ialah antara amalan yang menjadi kelaziman pada bulan puasa. Namun, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya 1 Syawal, adakah ia juga menandakan panggilan berakhirnya amalan-amalan tersebut? Jika ya, marilah kita sama-sama merenung firman-Nya yang berbunyi ;

وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ

“…namun jadilah kalian hamba Rabbani, terhadap apa yang telah kalian pelajari daripada Al-Quran dan daripada apa yang telah dikaji”. (Ali Imran:79)

Justeru, elakkan diri daripada terjebak daripada menjadi ‘hamba kepada Ramadhan (رمضنيا-Ramadhaniyyan) iaitu contohnya ; banyak melakukan solat sunat, sangat menjaga tutur kata atau banyak bersedekah kerana bulan Ramadhan semata-mata. Sebaliknya, pacakkan diri dengan melazimi amalan-amalan tersebut pada bulan-bulan lain juga supaya dapat memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. tadi (ربانيا-Rabbaniyyan), iaitu melakukan amal ibadat ikhlas dan hanya kerana Ramadhan Allah S.W.T. semata-mata.

Suka atau tidak, kita terpaksa melepaskan pautan kasih sayang dan berkat Ramadhan kembali ke pangkuan-Nya. Sesekali tiada guna kita menangisi pemergiannya yang sudah menjadi lumrah akan hanya menjenguk kita setahun sekali. Apa yang paling penting ialah untuk kita semua melazimi amalan-amalan pada Ramadhan pada bulan-bulan yang lain juga dan mengambil hikmah daripadanya.

 

 

 

Apapun, perginya Ramadhan masih diiringi oleh keistimewaan daripada Allah S.W.T. kepada hamba-Nya.

Rasulullah S.A.W. bersabda ;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengirinya dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Hadith Riwayat Muslim)

Moga-moga perpisahan kita dengan Ramadhan hanya sekadar perpisahan masa. Bukan simbolik perpisahan ibadat, akhlak mahupun muamalat.

 

 

25/09/2009 Posted by | Dakwah, Peringatan Diri | Leave a comment