أسلم تسلم

Jangan Takut Berbeza

Kami Pasti Menyusulmu, Sahabat..

Ucapan ‘Innalillah Wa Inna Ilaih Raji’un’ terpacul daripada mulut sebaik mendapat berita kemalangan 2 orang ahli GAMIS daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim kira-kira pukul 5 pagi tadi. Mesej pertama daripada Presiden GAMIS, Ustaz Idris yang memaklumkan Akh Faizol meninggal dunia kemudiannya disusuli dengan mesej kedua kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan bahawa Akh Fadhiri pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.

Saya tidak berkesempatan mengenali arwah Faizol,pelajar jurusan Pendidikan Khas. Namun, berdasarkan cerita sahabat-sahabat lain di UPSI, mereka berdua adalah daripada aliran dakwah yang sama. Kesempatan mengenali arwah Fadhiri pula sesungguhnya amat ternilai saat dan ketikanya. Pada perkiraan saya, arwah seorang yang sangat bertanggungjawab, baik hati dan sangat komited. Saya banyak berhubung dengan arwah Fadhiri jika ada perkara berkaitan dengan GAMIS. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah sewaktu Ekspidisi Dakwah GAMIS sempena Sambutan Tahun Baru 2010. Seperti biasa, arwah sentiasa dengan sifat mesranya diiringi senyuman, menyebarkan ‘merchandise’ GAMIS kepada masyarakat yang ingin menyambut tahun baru, sambil kopiah putih pula tidak pernah lekang daripada kepalanya. Sepanjang mengenalinya, saya boleh mengatakan bahawa Allahyarham sangat komited dengan tugasan untuk menyebarkan dakwah di bumi UPSI khususnya.

Apapun, Allah S.W.T. nyata lebih menyayangi kedua-duanya di saat kita semua pasti tidak dapat menafikan masih mengharapkan sumbangan mereka di alam dakwah yang serba mencabar ini. Saya yakin dan percaya bumi UPSI khasnya pasti akan merindui sentuhan dakwah mereka.

Mereka pergi mengadap Ilahi tatkala hati sanubari masih membara untuk meninggikan kalimah Islam. Semoga tenang rohmu disana. Kami pasti menyusulmu, sahabat..,kerana hanya waktu yang memisahkan kita.

Al-Fatihah..

Advertisements

11/01/2010 Posted by | Diari | Leave a comment