أسلم تسلم

Jangan Takut Berbeza

Sudut Pidato : Mahasiswa Wajib Manfaatkan Ruang

Ma’ruf Club menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk kembali membuka ruang dan peluang bagi mahasiswa bersuara di depan massa di kampus. Pengenalan semula Sudut Pidato yang terhenti seketika hampir 40 tahun lamanya dilihat antara faktor utama mahasiswa yang lahir daripada sulbi kampus sejak era tersebut dilihat lesu untuk berpencak di lapangan masyarakat. Pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik mengambil alih konsentrasi mahasiswa yang kemudiannya dijadikan alasan dan penghalang kepada mereka untuk terlibat dengan dunia sebenar kemasyarakatan. Ditambah lagi dengan pelbagai undang-undang yang menyahaktifkan penglibatan mahasiswa untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, ia menambah parah lagi kualiti yang wujud dalam diri mahasiswa.   

Oleh sebab itu, Ma’ruf Club amat berharap mahasiswa kampus dapat memanfaatkan keterbukaan ini dengan sebaiknya. Hal ini disebabkan mereka merupakan ‘generasi emas’ yang sentiasa diwarwarkan sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Antara keistimewaan mereka ini ialah di samping berada di lapangan akademik, sebenarnya anak muda juga ‘kaya’ dengan cita-cita, idealisme, semangat dan keazaman untuk berubah dan menjadi agen perubahan. Dalam sebuah kisah perang pada zaman Nabi S.A.W., sewaktu Baginda S.A.W. mengumpulkan para sahabat R.A. untuk bertanyakan strategi perang yang akan digunakan untuk berhadapan dengan musuh, maka bangkit seorang anak muda memberi cadangan supaya Tentera Islam menggali parit. Umum maklum bahawa sejarah perang melibatkan bangsa Arab tidak pernah menggunakan idea se‘gila’ itu. Namun, melihat kepada untung besar yang boleh memenangkan Islam dengan menggunakan strategi tersebut, maka Nabi S.A.W. menerima cadangan anak muda tersebut yang pada mulanya dilihat ramai tidak mampu memberi kesan. Perang itulah, Perang Khandaq. Anak muda itulah, Salman Al-Farisi.

Ma’ruf Club juga amat mengharapkan pemidato dapat mempersembahkan idealisme mereka dengan baik. Namun, sewajarnya mereka dapat mengelakkan daripada membuat sebarang pengucapan awam yang berbaur provokasi supaya terhindarnya konfrontasi. Semoga aura mahasiswa yang pernah mewarnai pentas dan landskap negara pada satu masa dulu kembali disemarakkan dan dibumikan demi kecaknaan dan kemaslahatan pada kampus khasnya dan ummah amnya.    

 

 

16/01/2010 Posted by | Dakwah, Isu Semasa | Leave a comment

Elakkan Subjudis kepada Mahkamah

Kelulusan menggunakan kalimah ‘Allah’ oleh Mahkamah Tinggi kepada akhbar ‘The Herald’ berjaya ditangguhkan buat sementara waktu setelah Kementerian Dalam Negeri berjaya mendapatkan perintah ‘stay of execution’ atau perintah penangguhan perintah mahkamah sebelum ini. Kesan daripada perintah terbaru ini menyebabkan The Herald dilarang sama sekali untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan akhbar tersebut. Walaupun keputusan ini dilihat dapat meredakan sedikit ketegangan di kalangan masyarakat terutamanya orang Islam, ada juga yang tertanya-tanya tempoh masa ia terpaksa dipohon apatah lagi diluluskan yang membayangkan keseriusan kita dalam kes ini boleh dipersoal. Hal ini disebabkan oleh sewaktu penghakiman kes Dato’ Seri Ir. Nizar, permohonan dan kelulusan untuk ‘stay of execution’ daripada penghakiman terdahulu mahkamah hanya mengambil masa kurang daripada tempoh 24 jam.

Pihak kerajaan pula sepatutnya lebih tegas untuk tidak membenarkan rakyat mengambil kesempatan berhubung isu ini. Walaupun mereka ada menasihatkan rakyat untuk mengambil sikap bertenang, namun tiada pula tindakan dibuat kepada pihak yang berterusan memainkan isu ini. Terbaru, mereka membenarkan niat dan hasrat pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi. Tanpa menafikan hak demokratik setiap rakyat untuk bersuara, sepatutnya kerajaan perlu dilihat untuk tidak menggalakkan demonstrasi dalam situasi sekarang. Hal ini memandangkan rayuan keputusan di Mahkamah Tinggi tempoh hari akan diputuskan dalam tempoh terdekat. Harus diingat, kita masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang boleh membatalkan keputusan mahkamah sebelum ini. Tanpa menafikan ada kemungkinan bahawa keputusan yang akan diputuskan boleh jadi tidak berubah, namun dengan bertindak seperti ini, maka ia dilihat bersikap subjudis kepada mahkamah, iaitu membuat pengadilan terlebih dahulu terhadap isu sebelum dimuktamadkan oleh mahkamah atau mempengaruhi juri  mahkamah untuk membuat keputusan yang dibimbangi tidak dapat bersandarkan kepada prinsip kebebasan dan keadilan undang-undang.

 

07/01/2010 Posted by | Isu Semasa | Leave a comment

Kalimah Allah : Serampang Dua Mata buat Melayu-Islam

 

Penghakiman oleh Hakim Dato’ Lee Bee Lan di Mahkamah Tinggi dengan membenarkan permohonan akhbar The Herald menggunakan nama ‘Allah’ dalam versi Melayunya  mencetuskan polemik terbaru dalam masyarakat Muslim di Malaysia. Isu berkaitan Islam sentiasa dilihat tidak berada dalam keadaan konsisten di negara kita lantaran kedudukan Islam yang dilihat rapuh dalam konteks perlembagaan, pentafsiran undang-undang mahupun penghakiman kes-kes terdahulu.

Berbicara tentang konteks semasa,Ma’ruf Club bersetuju bahawa penghakiman kalimah Allah mestilah dirayu ke peringkat yang lebih tinggi. Hal ini disebabkan penghakiman kes tersebut dilihat tidak mengambil kira rasa hati penganut Islam yang membentuk majoriti komposisi kaum di negara kita. Tambahan pula, kalimah ‘Allah’ telah dieksklusifkan kepada orang Islam semata-mata sebagaimana peruntukan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain Terhadap Orang Islam yang digubal selari dengan Artikel 11 tersebut. Keadaan ini selaras dengan penggubalan undang-undang tersebut di beberapa buah negeri yang memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk ‘Allah’ kecuali bagi maksud Islam.

Namun, kesedaran ke arah mendidik masyarakat supaya memahami bahawa Allah untuk semua perlu diperhebat. Ma’ruf Club melihat bahawa faktor sejarah pembentukan masyarakat Malaysia telah menyebabkan majoriti masih tidak bersedia untuk keluar daripada kepompong semangat kebangsaan dan eksklusif keagamaan.  Umum mengetahui bahawa perkara fundamental yang membezakan antara Muslim dengan Non-Muslim ialah dari aspek Tauhid Uluhiyyah, bukannya aspek Tauhid Rububiyyah. Seharusnya, dengan menggunakan kalimah ‘Allah’, peluang dakwah Muslim kepada Non-Muslim menjadi lebih luas dan terbuka. Hujahan pihak Muslim juga sepatutnya menjadi lebih mudah dalam konteks dakwah memperkenalkan Islam kepada Non-Muslim dengan bersandarkan kepada hujahan kitab Al-Quran (yang membatalkan kitab-kitab terdahulu) dan yang paling penting, nilai yang wujud dalam Surah Al-Ikhlas, ayat 1-4.

\

03/01/2010 Posted by | Isu Semasa | Leave a comment